KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) bakal menganjurkan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) pada Jun ini, bertujuan menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat melalui peluang meningkatkan kemahiran dan pembelajaran secara percuma.

Ketua Pegawai Program HRD Corp Soffian Amin berkata perbadanan di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia itu menyasarkan sekurang-kurangnya 200,000 pendaftaran, bermula dari 24 hingga 30 Jun 2024.

"Terdapat lebih 30 juta rakyat Malaysia tetapi hanya kira-kira separuh yang mempunyai akses kepada peluang latihan.

"(Untuk) NTW, kami sedang meneliti latihan yang bakal ditawarkan secara percuma sepanjang minggu oleh agensi kerajaan, institut, kolej, penyedia latihan swasta dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan," katanya ketika ditemui di majlis sambutan Aidilfitri HRD Corp di sini pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Soffian berkata hampir 300 kursus percuma kini tersedia dan orang ramai boleh mendaftar di portal NTW di www.nationaltrainingweek.gov.my.

Beliau berkata HRD Corp menjangkakan NTW akan menyediakan 25,000 kursus yang merangkumi kelas bersemuka, kelas dalam talian serta e-pembelajaran.

Mula diperkenalkan pada Mei 2023, NTW merangkumi latihan penuh selama seminggu dan aktiviti yang menghimpunkan organisasi serta individu daripada pelbagai latar belakang dan industri untuk menyediakan peluang pembelajaran.

Sesi latihan percuma di pelbagai lokasi itu ditawarkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia.

-- BERNAMA